TIDAK kira istilah yang diberi dan matlamatnya, perkara wajib
apabila melancong atau mengembara sudah tentu untuk mengetahui lebih mendalam
negara yang kita lawati. Terpulang kepada cara, yang penting bagaimana kita menikmatinya. Dan adakah ia berbaloi atau tidak? Adakah ia cukup sekadar
membeli-belah dan selfie bersama mercu tanda di setiap destinasi?. Sebenarnya,
ia lebih daripada itu. Cuma, segalanya bergantung kepada kita sendiri.
Sepanjang pengalaman saya, ada beberapa tip yang mungkin kita
boleh kongsikan bersama. Pelbagai tempat ada pelbagai pengalaman, cerita dan
cara untuk menikmatinya.
Mungkin secara sedar atau tidak. Sepanjang pengalaman saya, kadang
kala bukan tempat atau mercu tanda yang boleh mendatangkan kepuasan dan
mempelajari sesuatu budaya dengan lebih mendalam, sebaliknya beberapa perkara.
Antaranya adalah seperti berikut:
» Makanan - Lihat dan pergi ke pasar malam atau apa juga festival, pasti ada
makanan yang menjadi ikon di negara yang dilawati. Selain murah, kita dapat
mencuba kepelbagaian dan kenikmatannya. Lupakan sebentar nasi lemak, roti canai
atau teh tarik. Mengapa tidak mencuba pirogi yang menjadi makanan utama di
Poland atau kustoscalacs di Hungary sebagai sarapan atau snek. Sudah tentu anda
pasti akan menjadikannya sebagai salah satu pengalaman pulang ke kampung
halaman. Tidak mustahil makanan tersebut akan menjadi hidangan anda selepas
ini. Kepada ‘kaki’ Instagram, ini peluang terbaik untuk dikongsi bersama.
Sekurang-kurangnya pengalaman itu memberi info kepada rakan-rakan. Cuma bagi
yang Muslim, pastikan status halalnya dahulu.
» Belajar bahasa tempatan - Seperti saya katakan, satu perkataan boleh membawa pelbagai kisah
atau mungkin boleh mengundang padah. Bahasa tidak menjadi penghalang untuk
berkomunikasi walau dari mana sekalipun seseorang itu. Cuma anda perlu
berhati-hati kerana sebutan anda mungkin membawa maksud yang berlainan.
» Gunakan pengangkutan awam - Sesak atau leceh bukan alasan. Jika anda keluar pada waktu pagi
ketika hari bekerja, anda akan dapat melihat pelbagai kerenah dan cara hidup
mereka. Cara bekerja, peraturan dan mentaliti. Segalanya anda pelajari dengan mendalam.
Malah, mungkin boleh dipraktikkan. Saya sendiri telah mencubanya. Selain itu,
bagi kaum Adam, inilah masa mencuci mata!.
» Pergi tempat tumpuan
orang tempatan - Sama ada membeli-belah atau makan, cuba pilih tempat yang menjadi
pilihan orang tempatan. Mengapa? sudah tentu harganya lebih murah. Kawasan yang
menjadi tumpuan pelancong, sudah tentu mahal dan kadang kala membosankan umpama
indah khabar dari rupa.
» Bergaul dan lakukan
aktiviti bersama
penduduk tempatan - Tip ini sangat berguna jika anda mengembara atau melancong
bersendirian atau dalam kumpulan yang kecil. Kerja sukarela adalah jalan
terbaik. Anda mungkin boleh tinggal di satu-satu tempat dengan lebih lama.
Kebanyakan di negara Eropah, ada organisasi yang menyediakan tempat tinggal
percuma. Jadi, mengapa tidak jika anda seorang budget traveller.
» Pakaian - Ada sebahagian tempat atau destinasi yang menganjurkan pelbagai
festival dengan tema tertentu. Red Indian, koboi atau viking. Terpulang untuk
menjadi watak apa. Jangan terkejut jika anda turut mendapat layanan lebih
‘istimewa’ berbanding penduduk tempatan. Oleh itu, cubalah berpakaian seperti
mereka.
BOOKING HOTEL ONLINE
Artikel dipetik daripada Utusan Malaysia : Tulisan :-MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
Artikel dipetik daripada Utusan Malaysia : Tulisan :-MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
No comments:
Post a Comment